KUALA LUMPUR – Seorang saksi menyatakan wanita yang dicampak dari sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar di sini petang tadi, masih hidup ketika bergolek di atas jalan raya.
Menurut Faizan Ahmad, 34, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk ke pejabatnya sebelum kereta di hadapan brek mengejut.
“Kemudian saya nampak wanita itu telah bergolek di atas jalan raya. Kemudian saya dan orang ramai lain turun untuk lihat.
“Ketika itu wanita berkenaan masih hidup dan dia meminta kami di lokasi untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR). Saya terus buat panggilan kecemasan.
“Saya tidak berani sebab terlampau banyak darah, tetapi ada individu lain yang berikan bantuan pernafasan. Sehinggalah ambulans sampai, wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, keadaan wanita itu dilihat sangat teruk dan ada beberapa lebam pada badan wanita tersebut.
Bercerita lanjut, Faizan berkata dia tidak memberikan perhatian kepada van berkenaan kerana ada sebuah lagi kenderaan di hadapan keretanya.
“Namun van itu memecut laju selepas mencampak wanita tersebut ke atas jalan raya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita dalam keadaan sudah tidak bernyawa dicampak dari sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.58 petang.
Ujarnya, pengadu memberitahu terlihat seorang wanita dicampak dan jatuh dari sebuah van sebelum kenderaan itu melarikan diri.
“Mangsa wanita berusia 44 tahun beralamat Menglembu, Ipoh, Perak disahkan maut di lokasi oleh petugas hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE