PETALING JAYA – Sebuah pesawat pejuang jenis Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengalami insiden kemalangan selepas menghadapi masalah pada sistem gear pendaratan hadapan (nose landing gear) semasa mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kedah, petang tadi.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika pesawat terbabit sedang menjalani latihan ‘Opening Gambit’ sempena acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).

“Juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecedaraan,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan, TUDM telah menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian secara terperinci.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pesawat pejuang berkenaan tergelincir ketika mendarat di LTSAH.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat tersebut menjalani latihan sempena LIMA ’25 di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei depan.
Kejadian turut disaksikan orang ramai yang berada di sekitar luar lapangan terbang tersebut untuk menyaksikan sesi latihan.
Video insiden itu yang turut tular memaparkan pesawat mengalami masalah sebelum ‘tersungkur’ di landasan. – KOSMO! ONLINE