PPR Gombak Setia: Retak bermaksud ‘expansion joint’ berfungsi dengan baik – DBKL

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Keretakan pada bahagian ‘expansion joint’ (sistem pengembangan) di bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 43 merupakan petanda bahawa sistem binaan itu sedang berfungsi dengan baik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, ia menunjukkan bahawa ‘expansion joint’ dibina sedang melindungi bangunan daripada keretakan pada struktur utama.

Ujarnya, ‘expansion joint’ adalah komponen binaan yang direka khas untuk menyerap pergerakan semula jadi struktur bangunan akibat perubahan suhu dan cuaca.

“Fungsi utama ‘expansion joint’ adalah untuk mengelakkan berlakunya kerosakan besar pada struktur utama bangunan.

“Oleh itu, kewujudannya amat penting dalam memastikan kestabilan serta keselamatan keseluruhan bangunan,” katanya.

Mengulas mengenai kerosakan kecil pada ‘expansion joint’, DBKL berkata ia dipercayai berpunca daripada faktor cuaca dan perbuatan vandalisme.

Katanya, ia berdasarkan pemeriksaan tapak pada Selasa lalu yang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan semasa ‘expansion joint’ tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kerosakan kecil pada ‘expansion joint’ yang dipercayai berpunca daripada faktor cuaca dan perbuatan vandalisme.

“Pemeriksaan juga mendapati kebanyakan ‘expansion joint’ masih berada dalam keadaan baik, namun begitu kerja-kerja baik pulih terhadap bahagian yang dikenal pasti mengalami kerosakan sedang dilaksanakan segera,” katanya.

DBKL berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan tahap keselamatan bangunan berada dalam keadaan baik.

“Antaranya termasuk pelantikan syarikat perunding pada tahun 2020 bagi menjalankan kajian penilaian terhadap ‘expansion joint’ di PPR Gombak Setia,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pada tahun 2023, kerja baik pulih secara menyeluruh dilaksanakan di Blok 41 dan Blok 43 diikuti dengan kerja baik pulih yang dijalankan pada tahun lalu berdasarkan aduan semasa.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, tular di media sosial beberapa video dan gambar memaparkan satu garisan lurus berwarna hitam didakwa merupakan rekahan pada bangunan PPR Gombak Setia Blok 43.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Timbalan Presiden Persatuan Penduduk, Rosli Sulaiman ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata garisan kelihatan seperti belahan itu adalah kesan gam penyambung (expansion joint) yang dilakukan pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |