KUALA LUMPUR – Pelari ultra, Noor Ainun Yeop Kamaruddin mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Malaysia pertama berjaya menamatkan cabaran ultra ekstrem Coast to Coast sejauh 444 kilometer (km) dari Lumut, Perak ke Bachok, Kelantan.
Ainun, 44, yang lebih dikenali sebagai Kak Tutu itu menamatkan larian dalam masa 114 jam 18 minit, merentasi lapan hentian utama dengan purata jarak 50km setiap satu, menjadikan pencapaian itu sebagai satu penanda aras baharu buat pelari wanita negara.
“Saya dah set dengan diri, saya tak boleh gagal. Kena lengkapkan juga jarak 444 ini walau apa pun terjadi. Pendakian tanpa henti dari Simpang Pulai ke Cameron sejauh 60km buat saya hampir putus asa.
“Tapi saya bersyukur ada pasukan berdedikasi bersama saya sepanjang perjalanan,” katanya yang mengharungi cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius serta laluan pendakian melebihi 1,500 meter ke Cameron Highlands.
Kak Tutu turut mengalami terseliuh kaki kiri pada kilometer ke-300 akibat jalan tidak rata, namun enggan menyerah kalah kerana terinspirasi dengan sokongan kru dan tanggungjawab terhadap para penaja.
“Ankle (buku lali) saya bengkak masa kilometer 300 lebih. Tapi saya tetap teruskan juga sebab mental game (kejohanan) ini satu, saya punya misi untuk hadiah hari lahir buat diri saya,” ujarnya yang turut mengalami demam sepanjang larian.
Kekangan fizikal ditambah faktor biologi apabila dia mengharungi hari pertama haid pada hari perlumbaan, selain perlu berhati-hati sepanjang lima hari larian untuk mengelak lepuh di kawasan sensitif.
“Setiap kali sampai check point, saya buang masa dua, tiga jam untuk rawatan dan tukar pakaian. Kalau tak, mungkin saya boleh habis bawah 110 jam,” kata Ainun yang hanya tidur satu hingga dua jam setiap malam sepanjang cabaran itu.
Persediaan fizikal termasuk menyertai siri-siri latihan ultra seperti Route 68 dan UiTM Ultra serta menaikkan berat badan tiga kilogram sebagai tenaga simpanan turut menjadi faktor kejayaan larian yang dilakukan sempena ulang tahunnya ke-44 itu.
Cabaran Coast to Coast tahun ini turut disertai peserta dari Jerman dan Thailand, namun Ainun satu-satunya wanita yang berjaya menamatkan perlumbaan, membuktikan kemampuan wanita dalam sukan ekstrem bukan sekadar simbolik.
Dengan pencapaian tersebut, Ainun kini menunggu pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) dengan sokongan daripada pihak penganjur dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). – KOSMO! ONLINE