Lari tinggal kereta bawa 22.5 kg ganja

1 day ago 6

RANTAU PANJANG – Seorang lelaki lari meninggalkan dadah jenis ganja seberat 22.5 kilogram (kg) selepas kereta yang dipandunya ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di lampu isyarat Banggol Kulim di sini semalam.

Kereta jenis Proton Wira itu ditahan kira-kira pukul 6.20 pagi semasa anggota Batalion 9 PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan kereta tersebut selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan lampu isyarat itu.

Sebuah kereta yang membawa sebanyak dadah jenis ganja seberat 22.5 kg yang ditinggalkan di lampu isyarat Banggol Kulim, Rantau Panjang semalam. – IHSAN PGA

Menurutnya, suspek kemudian bertindak melarikan diri meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan.

“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut menjumpai dadah jenis ganja seberat 22.5 kg yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta yang dipandu suspek dianggarkan bernilai RM819,000,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |