Guna kad UNHCR palsu tinggal di Malaysia

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR) dipercayai palsu untuk menetap di negara ini.

Itu antara taktik warga asing yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya warganegara Myanmar bagi mengelak ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman dalam serbuan Op Kachi di sekitar Pasar Borong Selayang, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, seramai 1,222 individu warganegara Myanmar ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan bermula pukul 10.45 malam hingga 5 pagi itu.

Menurutnya, jumlah itu terdiri daripada 702 lelaki dan 360 wanita termasuk 160 kanak-kanak.

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati rata-rata individu warganegara Myanmar yang mendominasi kawasan tersebut merupakan pemegang kad UNCHR.

“Kita menyerahkan kepada pihak JIM untuk membuat semakan mengenai kad UNHCR dimiliki mereka sama ada sahih atau palsu.

“Pihak imigresen memaklumkan terdapat kad UNHCR yang gagal dikenal pasti melalui mesin pengimbas dan pemegang kad akan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk semakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Mohamad Suzrin berkata, warganegara Myanmar itu antara 1,435 individu yang ditahan dalam serbuan membabitkan 225 premis perniagaan dan rumah kedai di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan turut dijalankan ke atas 142 warganegara Bangladesh, India (9), Indonesia (2), Nepal (1) dan warga tempatan (1).

Tambahnya, tindakan tegas itu diambil susulan risikan selama dua minggu selepas menerima aduan daripda orang awam mengenai lambakan warga asing. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |