KLANG – Syarikat logistik Singapura, YCH Group (YCH) membuat pelaburan berjumlah RM500 juta bagi membina sebuah kompleks logistik yang dikenali sebagai Supply Chain City Malaysia (SCC MY) di Bandar Bukit Raja di sini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan Malaysia sangat menghargai penambahan pelaburan dibuat YCH, yang mana syarikat tersebut mempunyai beberapa gudang lain di Malaysia.
“Projek ini merupakan projek pertama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang disasarkan untuk memacu transformasi dalam industri logistik dalam negara.
“SCC MY hadir pada masa yang tepat ketika Malaysia dalam usaha meningkatkan ekonomi dan meningkatkan pelaburan dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SCC MY di sini, semalam.
Menurutnya, SCC MY bukan sahaja membentuk masa hadapan industri logistik, malah ia akan membentuk masa hadapan baharu dalam sektor berkenaan dalam rantau Asia Tenggara.
Sementara itu Pengerusi YCH, Dr. Robert Yap berkata, SCC MY dijangka meningkatkan standard logistik dalam Malaysia dalam usaha negara itu menjadi peneraju rantaian bekalan bertaraf dunia.
Ujarnya, kompleks gudang itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.
“Sekiranya siap, ia dapat menyimpan stok milik peniaga daripada industri besar sehingga perusahaan kecil sederhana (PKS) di negara ini.
“Pelaburan kami dalam sistem Fusionaris dan teknologi canggih mencerminkan komitmen kami terhadap keterhubungan serantau, operasi yang cekap dan amalan lestari.
“Kami juga komited untuk melatih bakat tempatan dan memperkasa mereka dengan kemahiran penting untuk menyokong perjalanan Malaysia sebagai destinasi pilihan syarikat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE