PPZ-MAIWP, BSN meterai MoU perluas inisiatif wakaf tunai secara digital

1 day ago 7

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) menandakan permulaan kerjasama strategik bagi memperluas inisiatif wakaf tunai melalui platform digital.

BSN dalam satu kenyataan berkata, melalui MoU ini, kemudahan sistem pembayaran wakaf dalam talian menerusi aplikasi MyBSN juga telah diperkenal bagi memudahkan pengguna menunaikan wakaf dengan lebih cepat, selamat dan telus.

Dalam kenyataan sama dimaklumkan bahawa pelanggan BSN boleh menyalurkan wakaf melalui pelbagai saluran sedia ada seperti ATM atau CDM, perbankan internet, e-Biller, QR DuitNow, pendebitan keuntungan daripada akaun simpanan, ejen bank serta kaunter BSN.

“Setiap transaksi dikemas kini secara automatik, membolehkan pewakaf menyemak rekod sumbangan secara langsung,” jelas kenyatan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, sinergi di antara PPZ-MAIWP dan BSN bukanlah yang pertama, memandangkan insitusi perbankan ini telah dilantik sebagai ejen rasmi kutipan zakat PPZ-MAIWP sejak tahun 2011.

“PPZ-MAIWP amat optimis bahawa BSN, sebagai rakan strategik yang memiliki kepakaran luas dalam perkhidmatan kewangan, mampu membantu meningkatkan kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan melalui pelbagai platform berwakaf yang disediakan.

“Kami juga yakin masyarakat berpeluang untuk berwakaf dengan lebih mudah dan mesra pengguna, sekali gus menyemarakkan lagi budaya memberi tanpa ganjaran dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Setakat suku pertama tahun 2025, kutipan wakaf tunai PPZ-MAIWP meningkat lebih 50 peratus kepada RM3.31 juta berbanding RM2.19 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jelas kenyataan itu, kutipan tersebut akan disalurkan kepada 33 projek khas dalam sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, sosial dan kecemasan, yang memerlukan dana keseluruhan berjumlah RM748 juta.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil turut menegaskan komitmen bank dalam mendukung pembangunan sosioekonomi ummah melalui penyediaan saluran wakaf yang inklusif dan diyakini.

“BSN percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah. Melalui kerjasama ini, BSN komited untuk menyediakan akses yang lebih mudah, diyakini dan inklusif kepada masyarakat untuk berwakaf secara digital,” katanya.

Dalam masa sama, PPZ-MAIWP turut menggesa pelanggan BSN yang mempunyai akaun simpanan agar memberi keizinan untuk menyalurkan keuntungan bulanan daripada akaun mereka kepada PPZ-MAIWP bagi tujuan wakaf, yang boleh dilakukan di mana-mana cawangan BSN.

Sebagai tanda sokongan, BSN turut menyumbangkan RM20,000 dalam bentuk wakaf tunai kepada PPZ-MAIWP bagi menyokong pelaksanaan projek-projek wakaf semasa.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif wakaf tunai PPZ-MAIWP boleh melayari portal wakafppz.com.my atau menghubungi talian 1-300-88-5757. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |