Long Tiger dijel 12 tahun, lima sebatan rogol isteri orang

1 day ago 7

MUAR – Lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Long Tiger dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita berstatus isteri orang, empat tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie pihak pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Irwan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pembelaan daripada tertuduh lebih kepada bersifat penafian semata-mata.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis yang difailkan oleh kedua-dua pihak, mahkamah dalam kes ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selain itu, mahkamah mendapati bahawa keterangan daripada isteri tertuduh yang juga saksi pembelaan ke-11 (SP11) lebih kepada rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai,” jelasnya.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi.

Mengikut pertuduhan, Long Tiger didakwa merogol wanita berusia 19 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak antara 1 tengah hari dan 2.05 petang, 26 September 2019.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Arif Marzuki memohon agar hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius sehingga meninggalkan kesan trauma terhadap mangsa.

“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa yang baru beberapa hari mengalami keguguran. Mangsa adalah pekerjanya hingga sanggup diperlakukan sedemikian,” hujahnya.

Pada prosiding itu, mahkamah memutuskan hukuman penjara dikenakan ke atas Long Tiger berkuatkuasa dari tarikh ditangkap iaitu 7 Ogos 2021.

Tertuduh ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama empat tahun yang diputuskan Mahkamah Majistret Tangkak, tahun lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Sebaik sahaja selesai menjalani hukuman tersebut, bapa dua anak berkenaan perlu menjalani hukuman yang diputuskan hari ini di bawah Seksyen 376(1).

Pada 20 Januari 2022, Long Tiger telah dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan pada pukul 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Selain itu, Mahkamah Tinggi Muar pada 1 Jun 2022 membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Long Tiger yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei.

Perintah itu dibuat selepas mahkamah mendapati terdapat kekhilafan sewaktu perintah berkenaan dikeluarkan bagi tuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |