Diperintah bayar kepada Hannah Yeoh, pensyarah akan buat rayuan

1 day ago 5

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman fitnah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook.

Kamarul Zaman dalam satu kenyataannya berkata, beliau bertindak memfailkan rayuan itu kerana tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang telah membawa kepada keputusan tersebut namun tetap menghormati keputusan mahkamah.

“Saya menegaskan bahawa saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Walau bagaimanapun, saya pada masa yang sama ingin menegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang telah membawa kepada keputusan tersebut.

“Oleh itu, saya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan ini dari segi fakta dan undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama peguamnya yang telah memberikan sokongan sepanjang prosiding perbicaraan selain meminta agar semua pihak memberi ruang secara menyeluruh di peringkat rayuan nanti.

Terdahulu, Kamarul Zaman diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap  Kamarul Zaman selain mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.

Bagaimanapun semasa prosiding, Kamarul Zaman tidak hadir ke mahkamah.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.

“Sebagai seorang pensyarah dan seorang Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia.

Sementara Hannah Yeoh dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu bahawa bukunya bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, buku itu merupakan autobiografi tentang kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan penglibatan dalam politik

“Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam telah terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu telah disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.

Justeru beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |