Wanita dicampak dari van bukan Pamela – Polis

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan wanita yang dicampak dari sebuah van tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar bukan Datin Seri Pamela Ling Yueh.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya sahkan mangsa yang dicampak bukanlah Pamela Ling. Kita masih lagi siasat motif kejadian,” katanya.

Hari ini media melaporkan seorang wanita dicampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Aidil berkata, pihaknya kemudian menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.58 petang.

Ujarnya, pengadu memberitahu terlihat seorang wanita dicampak dan jatuh dari sebuah van sebelum kenderaan itu melarikan diri.

“Mangsa wanita berusia 44 tahun beralamat Menglembu, Ipoh, Perak disahkan maut di lokasi oleh petugas hospital,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Pamela, 42, ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Abangnya, Simon Ling Wan Siong, turut mengeluarkan ke­nyataan memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya itu.

Menurut Wan Siong, Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 petang, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

Sehingga hari ini, Pamela sudah hilang selama 27 hari.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |