KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya bekas Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu memohon perkara tersebut selepas pendakwaan memohon lanjutan masa sebulan untuk keputusan representasi berkenaan.
“Dari segi fakta, representasi itu tidak berubah, ia masih dokumen yang sama namun kami tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak AGC.
“Susulan itu, kami mohon anak guam diberi perintah DNAA, kerana jika pihak pendakwaan mahu meneruskan pendakwaan semula, mereka sentiasa boleh berbuat demikian,” kata peguam itu yang telah menghantar reprsentasi ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 31 Julai 2023.
Mendengar perkara tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul berkata, pendakwaan belum mendapat arahan lanjut mengenai permohonan pembelaan mengenai permohonan DNAA.
“Kami tidak mempunyai arahan lanjut mengenai permohonan itu namun menyerahkannya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
“Mengenai representasi pula, saya memohon masa lanjutan selama sebulan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim K. Muniandy menetapkan 11 Jun ini untuk perkembangan mengenai status representasi itu.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 1 Disember 2023, Najib memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.
Muhammad Shafee yang mewakili ahli politik itu, membuat permohonan terbabit selepas pendakwaan memaklumkan, keputusan representasi yang dihantar pihak pembelaan kepada AGC pada 31 Julai tahun sama masih belum diperoleh. – KOSMO! ONLINE