Beregu Jepun terus ‘hantui’ Aaron-Wooi Yik

4 hours ago 2

KEKALAHAN 2-3 kepada Jepun di peringkat kumpulan masih dianggap antara faktor skuad badminton kebangsaan gagal melangkah jauh pada Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China.

Ia menyaksikan Malaysia sekadar muncul naib juara Kumpulan C dan terpaksa berdepan cabaran sukar di pusingan suku akhir apabila diundi bertemu pasukan tuan rumah yang merupakan juara Kumpulan A.

Ketika bertemu Jepun, pasukan negara hanya selangkah untuk menjadi juara kumpulan, namun mata ketiga diharapkan daripada beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal dicapai apabila mereka tewas 21-12, 20-22, 21-23 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Aaron berkata, mereka sudah memberikan segala-galanya pada pertemuan itu tetapi tidak dapat diterjemahkan dengan baik selain mengakui dia dan Wooi Yik sepatutnya menang ke atas pasangan No. 17 dunia itu.

“Memang setiap kali bertemu mereka, perlawanan tidak akan menjadi mudah biarpun mereka baru sahaja pulih daripada kecederaan. Kita pun sudah memberikan yang terbaik untuk memberikan cabaran kepada mereka.

“Secara keseluruhan, bukan nak cakap permainan kita sudah meningkat tetapi rasa memang patut menang (perlawanan itu),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik kini mencatat sembilan kekalahan kepada Hoki-Kobayashi dalam 11 perlawanan dengan lapan pertemuan terakhir kedua-dua beregu memihak kepada jaguh Jepun itu.

Sementara itu, Aaron juga menganggap faktor tuah turut menjadi punca kekalahan kerana mereka sudah menampilkan aksi seperti dimahukan, ditambah pula mereka tewas dengan perbezaan mata tipis.

“Corak permainan kita sudah betul, cuma ada beberapa mata yang tidak boleh diterjemah. Mungkin ia bergantung kepada tuah juga tetapi tidak boleh nak cakap apa dan mereka lebih yakin,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |