Along adalah anugerah terindah Yana – Adik Rennie

6 hours ago 4

PETALING JAYA – “Yana bersyukur Along adalah abang yana. Along dalam hidup Yana adalah anugerah indah,”

Demikianlah kata-kata adik kepada Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat.

Adik Allahyarham yang dikenali sebagai Yana berkata, jenazah akan dibawa pulang dari Lombok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ujarnya, kepulangan jenazah ke tanah air adalah bersama anak sulung Allahyarham dikenali sebagai Akashah.

“Jenazah bakal tiba di KLIA pukul 9 malam ini. Dari KLIA akan di bawa pulang Ke Masjid Taman Sierra Perdana, Masai Johor untuk solat jenazah selepas Subuh esok.

“Kemudian dijangka dikebumikan di Perkuburan Mutmainnah Cahaya Masai, esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Yana turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk media tempatan kerana menyiarkan berita tentang abang sulungnya itu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan hasrat seorang rakyat Malaysia melakukan pendakian terakhir bertukar tragedi apabila maut sewaktu dalam perjalanan turun selepas menawan puncak Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, 3 Mei lalu.

Arwah Rennie Abdul Ghani disahkan meninggal dunia selepas terjatuh di laluan curam Torean yang merupakan satu daripada tiga laluan di gunung berkenaan.

Yana sebelum ini berkata, abangnya berlepas ke Indonesia pada 30 April lalu bagi menyertai ekspedisi pendakian bersama 23 pendaki anjuran Juan Adventure Rinjani.

Difahamkan, arwah yang menetap di Seri Alam, Johor merupakan jurutera syarikat minyak dan gas dan mempunyai tiga anak.

Untuk rekod, laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada tahun 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrem berbanding Sembalun dan Senaru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |