India adakan latihan serangan seluruh negara

5 hours ago 2

NEW DELHI – Kementerian Dalam Negeri India mengarahkan sebilangan negeri mengadakan latihan keselamatan esok bagi memastikan keberkesanan pertahanan awam sekiranya berlaku serangan musuh, lapor laman berita RT.

Latihan itu turut akan melibatkan penggunaan siren amaran serangan udara, latihan orang awam dan pelajar mengenai protokol pertahanan awam serta pelaksanaan prosedur kecemasan, demikian menurut kementerian berkenaan.

Menurut pemberitahuan Kementerian Dalam Negeri kepada negeri-negeri, latihan itu akan diadakan di 244 daerah Pertahanan Awam seluruh negara.

“Pelaksanaan latihan itu dirancang sehingga ke peringkat kampung. Latihan ini bertujuan untuk menilai dan meningkatkan kesediaan mekanisme Pertahanan Awam di semua negeri dan Wilayah Kesatuan,” katanya.

Negeri-negeri terlibat juga telah diminta untuk menyembunyikan infrastruktur penting dan pemasangan kritikal serta melatih pelan pemindahan untuk respons kecemasan yang cepat dan selaras. 

Antara yang akan diadakan adalah latihan pemindahan orang awam dari kawasan terdedah ke zon selamat, selain mereka akan dilatih dalam teknik pertolongan cemas, memadam kebakaran dan perlindungan.

Latihan sedemikian diadakan di India buat kali pertama sejak 1971 apabila ia diperkenalkan di tengah-tengah perjuangan kemerdekaan Bangladesh.

Ia diadakan di tengah-tengah ketegangan antara India dan Pakistan susulan serangan militan pada bulan lalu di Kashmir yang ditadbir New Delhi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Narendra Modi memberikan kebebasan operasi penuh kepada angkatan tentera negara itu untuk menentukan kaedah, sasaran dan masa tindak balas India terhadap serangan yang meragut 26 nyawa orang awam di Kashmir.

Sementara itu, Pakistan semalam melancarkan ujian peluru berpandu permukaan ke permukaan jarak dekat siri Fatah yang mempunyai jarak 120 kilometer, selain Sistem Senjata Abdali yang dengan jarak 451 kilometer. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |