PETALING JAYA – Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kereta elektrik yang dinaiki mereka tiba-tiba brek secara mengejut ketika sedang dipandu di lorong kanan Lebuh Raya Cheras-Kajang pada 1 Mei lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook milik Nur Afifah Abdul Rahim, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Pinang selepas singgah menghadiri rumah terbuka di Kajang.
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran atau indikator. Di skrin kereta hanya tertera ‘Power System Failure’ sebelum keempat-empat tayar tidak bergerak seperti dikunci.
“Beberapa kereta hampir kemalangan kerana mengelak dari merempuh kereta kami yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan.
“Saya segera hubungi pihak peronda lebuh raya untuk kawalan lalu lintas. Alhamdulillah mereka tiba kurang 10 minit dan meletakkan kon amaran,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambahnya, cubaan untuk menghidupkan semula kereta juga gagal walaupun gear telah ditukar ke posisi neutral (N).
Kereta tersebut kemudian ditunda ke pusat servis namun dia mendakwa terpaksa menunggu lama untuk tindakan susulan.
“Esoknya, apabila menghubungi pusat servis, pelbagai alasan diberi seperti ‘tidak cukup staf’, ‘perlu temu janji’ dan sebagainya. Saya terpaksa mendesak kerana ini isu keselamatan.
“Hanya selepas pukul 4 petang, barulah dimaklumkan bateri 12V bermasalah dan perlu diganti,” jelasnya.
Menurutnya, pihak pusat servis memaklumkan bahawa kereta tidak akan mengeluarkan sebarang amaran sekiranya berlaku kerosakan pada bateri 12V.
“Persoalannya, kenapa tiada sebarang amaran atau ‘warning’ dan kereta terus brek mengejut. Mereka menjawab, memang tiada amaran atau indikasi jika bateri 12V bermasalah,” tulisnya lagi.
Tambah pemilik kenderaan, hantaran itu bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi sekadar berkongsi pengalaman buruk yang hampir mengancam nyawa.
Difahamkan, kerosakan tersebut berlaku walaupun usia kereta baru mencecah 10 bulan, dan kos penukaran bateri adalah sebanyak RM418 tanpa jaminan kerana melebihi had 20,000 kilometer.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi kebimbangan dan meluahkan rasa simpati.
“Gila ‘lock’ (kunci) empat tayar terus boleh bahaya. Silap-silap kalau laju boleh ‘sliding’. Semoga dipermudahkan urusan kak,” kata Haziq Ismail.
“Dah viral macam ni, kalau tak ada penyelesaian lagi, entahlah,” komen Siv. – KOSMO! ONLINE