PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor baru-baru ini.
Menerusi operasi dijalankan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) itu, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia antara 30 sehingga 55 tahun telah ditangkap di sekitar Lembah Klang.
Menurut sumber, empat daripada pegawai kanan tentera itu terdiri daripada dua pegawai kanan dan dua bekas anggota perisikan ATM yang menjadi suspek utama dalam bersubahat dengan sindiket penyeludup.
“Pegawai-pegawai kanan tersebut yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan di selatan tanah air dipercayai telah bersekongkol bersama sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu.
“Suspek disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta,” katanya hari ini.
Menurut sumber lagi, pegawai-pegawai kanan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
Katanya, rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar dan kompleks.
“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini adalah terdiri daripada dadah, rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran dengan membabitkan nilai barangan yang diseludup sebanyak RM5 juta sebulan.
“Melalui intipan dijalankan selama 12 bulan, bayaran rasuah yang diberikan kepada pegawai-pegawai kanan tentera itu dipercayai berjumlah di antara RM30,000 sehingga RM50,000 bagi setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan sindiket,” katanya.
Selain itu, sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,200 selain beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan disita.
Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan.
Menurut sumber, dia dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau menegaskan, tindakan ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan, namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.
Kesemua saspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. – KOSMO! ONLINE