Sindiket tipu ‘gift card’ tumpas di P. Pinang

7 hours ago 3

GEORGE TOWN – Sindiket penipuan jual beli ‘gift card’ yang menyasarkan rakyat negara ini tumpas dengan penahanan enam individu dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Alma, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam operasi khas itu, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua warga asing masing-masing lelaki dan wanita berusia 18 hingga 38 tahun diberkas selepas disyaki terbabit dalam sindiket tersebut.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram untuk memperdaya mangsa dengan tawaran hadiah palsu melalui pembelian gift card.

“Siasatan mendapati empat suspek tempatan mengaku baru seminggu bekerja sebagai operator pusat panggilan dengan gaji RM2,600 sebulan, manakala dua warga asing yang ditahan pula dipercayai dalang sindiket berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Hamzah berkata, semakan mendapati suspek warga asing itu masuk ke negara ini pada 1 Mei lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Sindiket itu beroperasi dengan menerima maklumat mangsa daripada kumpulan Telegram yang dinamakan ‘Malay Telegroup 875’.

“Operator akan menghubungi mangsa kononnya untuk menawarkan hadiah dan meminta mereka mengesahkan butiran peribadi.

“Maklumat itu kemudian diserahkan kepada pihak ketiga dipercayai dikendalikan seorang pentadbir Telegram disyaki beroperasi dari Kuala Lumpur,” katanya.

Polis merampas pelbagai barangan antaranya empat buah monitor, lapan buah telefon bimbit, tiga modem Wi-Fi, papan kekunci dan tetikus.

Turut dirampas kad akses, kabel internet, meja lipat, kerusi dan fon kepala. Selain itu, wang tunai RM5,000, kunci rumah berserta anak kunci dan resit pembelian turut dijadikan bahan bukti.

Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |