PM hadiri Mesyuarat Meja Bulat pemain industri Russia

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua di Moscow hari ini dengan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama 24 pemain industri utama Russia yang mewakili sektor-sektor strategik negara itu.

Anwar berkata, antara industri strategik yang terlibat seperti makanan dan pertanian, peruncitan dan logistik, minyak dan gas, kewangan, perabot, kimia, bahan binaan serta pengurusan sisa.

“Sesi itu menjadi landasan penting untuk meneroka peluang pelaburan dan perdagangan berimpak tinggi yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, tetapi turut membuka ruang baharu kepada perusahaan, inovasi dan pembangunan yang lebih inklusif.

“Saya percaya dialog seperti ini akan terus memangkin daya saing Malaysia dalam ekonomi global yang semakin mencabar dengan berteraskan nilai Madani yang menekankan keterbukaan, hormat dan tanggungjawab bersama dalam merangka masa depan yang lebih adil dan sejahtera,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sesi meja bulat itu juga membolehkan diskusi secara terbuka bagi membincangkan mengenai potensi kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih luas serta mampan antara Malaysia dan Russia.

Terdahulu beliau memaklumkan, Mesyuarat Meja Bulat tersebut diadakan di Hotel Metropol, sebuah mercu lagenda di Moscow.

Jelasnya, ia bukan sahaja menyaksikan pelbagai detik bersejarah sejak era Tsar, malah pernah menjadi medan pertemuan tokoh-tokoh besar dunia.

“Saya tertarik melihat bagaimana warisan sastera Russia diabadikan dengan bilik-bilik yang dinamakan sempena tokoh seperti Tolstoy, Turgenev dan Chekhov.

“Potret mereka turut menghiasi dinding-dinding bilik, yang mengingatkan kita bahawa kemajuan material harus berpaksikan pada jiwa, budaya dan kemanusiaan.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |