Regu negara libas Brunei, sasar jumpa Thailand di final

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Skuad regu sepak takraw negara tidak berdepan masalah untuk mara ke pentas separuh akhir Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas mudah membenam cabaran Brunei 2-0 dalam aksi suku akhir di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Pasukan kendalian Ahmad Mohd Zin yang menurunkan regu emas terdiri daripada Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) tampil dengan aksi penuh agresif sejak awal permainan, sebelum menoktahkan kemenangan straight set 15-7, 15-4.

Permainan kemas dan bertenaga ditunjukkan pemain negara jelas membuatkan trio Brunei, Mohamad Hafizzuddin Jamaludin, Muhammad Abdul Marteen Haji Asdi dan Mohamad Noorazlan Rosli gagal mencari rentak kebangkitan.

Brunei seolah-olah mengibar bendera putih lebih awal terutama pada set kedua apabila tekong gantian negara, Mohamad Syahir Mohd Rosdi dan perejam kedua negara, Khairul Aman Mohd Rosdi yang dimasukkan dilihat meledak beberapa servis tajam serta libasan kencang untuk memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir dan akan berdepan Vietnam esok bagi perebutan tempat ke final.

Perejam negara, Azlan mengakui gembira dengan kemenangan tersebut dan bertekad memberikan persembahan terbaik untuk merealisasikan impian menentang Thailand di pentas final.

“Apabila sudah berada di peringkat separuh akhir, kami akan turun habis-habisan hingga mata terakhir. Lawan yang bakal kami hadapi bukan mudah, jadi kami perlu kekal fokus dan miliki mentaliti untuk mara ke final.

“Sejujurnya, kami memang menyasarkan pertemuan dengan Thailand di pentas akhir. Jika kami mampu pamerkan aksi terbaik, Insya-Allah kemenangan milik kita,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, India mencuri tumpuan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi penuh dramatik yang berkesudahan 10-15, 15-12, 15-13.

Turun selaku juara bertahan Piala Dunia di Bihar, Mac lalu, India membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan apabila menunjukkan semangat juang tinggi untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

India kini bakal mengatur pertemuan menentang Thailand yang sebelum itu tidak berdepan masalah menewaskan Jepun menerusi kemenangan straight set 15-5, 15-8. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |