Laporan siasatan nahas FRU mesti dibentang dalam tempoh sebulan – Saifuddin 

5 hours ago 3

IPOH – Hasil siasatan pasukan petugas khas ditubuhkan Kementerian Pengangkutan berhubung kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sg. Lampam, Teluk Intan semalam perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut diputuskan ketika mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.

“Yang pertama, dimaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan perlu segera menunjukkan hasil siasatan pasukan petugas khas dalam masa sebulan.

“(Kementerian Pengangkutan) mesti membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri manakala pasukan polis sudah tentu membuka siasatan mengikut seksyen berkenaan terhadap pemandu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, di Kuarters FRU Sg. Senam di sini.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, pihak kementerian akan menugaskan pasukan kaunselor khusus untuk berada dan memberikan khidmat kepada keluarga mangsa supaya mereka mengharungi insiden itu dengan baik.

“Kita tak boleh underestimate (pandang rendah) kejutan yang mereka alami. Baru semalam orang yang mereka sayangi itu ada bersama mereka, tiba-tiba hari ini tak ada. Jadi, khidmat kaunselor ini kita perlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, trak dinaiki anggota FRU berkenaan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik walaupun ia telah digunakan sejak 1997.

“Rekod penyelenggaraannya tak ada masalah. Maksudnya masih lagi roadworthy (layak dipandu),” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan punca kemalangan tersebut sama ada ia berpunca daripada manusia atau lain-lain dan perkara itu perlu diserahkan kepada pasukan siasatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri komited untuk menambah baik semua aset agensi penguat kuasa di bawah kementerian tersebut.

Tambanya, beliau telah memberikan arahan supaya penyaluran insurans berkelompok kepada waris dapat disegerakan dengan ia dijangka dapat dilaksnakan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |