PETALING JAYA – Detik perjalanan terakhir sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh sebelum terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam, mengundang rasa sebak orang ramai.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok oleh pengguna @Nizma4481, kelihatan anggota terbabit bergerak meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pagi kejadian.
“Pagi semalam mereka gerak nak balik, keluar dari IPD Hilir Perak (sebelum kemalangan). Perjalanan terakhir mereka keluar dari IPD Hilir Perak setelah selesai solat jenazah (selepas kemalangan).
“Selamat tinggal wira-wira negara,” tulis pemilik akaun berkenaan
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap insiden menyayat hati itu.
“Pagi keluar dengan trak FRU.. Malam keluar dengan van jenazah. Sedihnya,” komen @Royeagle80.
“Apabila tengok video ini, hati terasa sebak sangat. Moga semua wira-wira negara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujar @NinaYusof.
“Pergi kerja sama-sama, balik kerja pula pergi ke negeri abadi sama-sama,” kata @Zuraidanhilang.
Semalam, Kosmo! melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 itu, nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.- KOSMO! ONLINE
@nizma4481 Selamat tinggal wira2 negara😭😭 walaupun tidak mengenali tapi tetap terkesan sbb suami pun anggota dan pernah bertugas d IPD HILIR PERAK dan kami pernah tinggal d Teluk Intan. Semoga roh arwah yg terkorban d cucuri Rahmat dan d tempat kan d kalangan org yg beriman. Dan semoga seluruh ahli keluarga d beri kekuatan dan sabar dgn ujian ini. Salam takziah😭😭#FRU #PDRM #IPDHILIRPERAK #tiktoksarawak #Wiranegara #fypシ゚ ♬ kali terakhir kulihat wajahmu – LENTERA INDAH