PETALING JAYA – Tahap keselamatan pengangkutan unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), wajib dipertingkatkan agar keselamatan anggota terus terjamin.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) Jamil Manan Supri berkata antara langkah boleh diambil adalah pemasangan tali pinggang keledar kepada anggota yang berada di belakang trak.
Selain itu, ujarnya, penggunaan trak sebagai pengangkutan perlu digantikan dengan bas yang bersesuaian untuk tujuan ke destinasi biasa atau perjalanan jauh.
Jamil berkata, isu pematuhan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bukanlah sesuatu yang baharu dan semua pihak pemilik kenderaan perdagangan sudah sedia maklum.
“Namun persoalannya, sejauh mana ia dipatuhi oleh pemilik kenderaan dan sekerap manakah Road Safety Audit iaitu pemeriksaan bersekala dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Mungkin pihak Kementerian Pengangkutan perlu mempertimbangkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan kembali bagi memantau sikap operator kenderaan awam mahupun perdagangan mematuhi Amalan ICOP sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamil turut menyarankan agar sistem Penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) diaktifkan semula.
Jelasnya, ia sebagai langkah berkesan untuk mengenal pasti rekod pemandu mahupun pemilik kenderaan selain membantu operator pengangkutan untuk membuat saringan semasa memerlukan pemandu.
“Dakwaan mengatakan pemandu lori cuba mengelak dan sistem stereng rosak menjadi punca kemalangan ini perlu disiasat sepenuhnya bagi merungkai punca sebenar.
“Bagaimanapun, pihak pemilik kenderaan sepatutnya juga bertanggungjawab memastikan pemandu bersih daripada sebarang rekod jenayah.
“Insiden membabitkan pemandu mempunyai rekod jenayah, bukanlah perkara baharu dan semua pihak perlu memberikan keutamaan untuk memantau amalan pemanduan dan penyelenggaraan selamat oleh pemandu dan ahli-ahli,” katanya.
Semalam, media melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 itu, nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu. – KOSMO! ONLINE