Raja Asia sasar dua piala di Thailand

6 hours ago 2

BIARPUN baru menjulang kejuaraan Piala Asia 2025, skuad kuadran sepak takraw negara enggan leka dan kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada dua misi penting seterusnya iaitu Piala Raja Thai dan Sukan SEA Thailand 2025.

Kemenangan ke atas Jepun 2-0 dalam aksi final di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam kelamarin bukan sahaja membuktikan kemampuan anak-anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif, malah mengesahkan status Malaysia sebagai ‘raja kuadran Asia’.

Bagaimanapun, Zulkarnain menuntut anak-anak buahnya tidak terlalu terbuai dengan kejayaan itu kerana pasukan hebat seperti Thailand, Myanmar, Vietnam, Indonesia mampu bangkit di Sukan SEA yang berlangsung di Bangkok pada Disember nanti.

“Kuadran masih baru bagi Malaysia. Kita tengah cuba pelbagai strategi dan sebab itu sewaktu Piala Dunia di India, Mac lalu kita dikejutkan dengan kekalahan.

“Kekalahan di India itu sebagai pengajaran dan satu ‘wake-up call’ buat pemain negara yang melakukan perubahan untuk menghadapi Piala Asia. Akhirnya, kita mencipta kemenangan.

“Bukan kita tak bagus, kita memang ada kelebihan individu. Kuadran memerlukan kerjasama sepasukan yang lebih ketat tetapi sekarang kita tahu apa yang kena baiki.

“Piala Raja Thai yang berlangsung pada Jun nanti kita akan tampil lebih kemas dan bersedia,” katanya.

Gandingan Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak, Shahalril Aiman Halim dan Afifuddin Mohd. Razali mempamerkan aksi mantap tanpa kesilapan mudah, menafikan kebangkitan Jepun yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Masaki Sasamoto dan Yuki Sato.

Skuad kuadran negara akan meneruskan sesi latihan intensif dengan misi mempertahankan kemenangan selaku juara Asia di Piala Raja Thai dan memburu kejuaraan berganda di Sukan SEA Thailand 2025.

Read Entire Article
Pertanian | | | |