Latihan Pestapora bukan pentas ‘syok sendiri’

5 hours ago 2

FESTIVAL muzik popular Indonesia, Pestapora bakal mencipta fenomena baharu dengan mengadakan konsert ‘latihan’ di Sunway Lagoon Beach Surf pada 26 Julai depan.

Meski hanya diadakan selama satu hari berbanding tiga hari yang sering berlangsung di Indonesia, acara anjuran Hitman Solutions tersebut tetap menerbangkan barisan penyanyi ternama dari negara jiran ke sini seperti Kunto Aji, Pamungkas dan Hindia.

Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, Latihan Pestapora 2025 dilihat sebagai platform kolaborasi budaya Nusantara antara dua negara yang diraikan secara terbuka menerusi muzik dan kesenian.

“Hampir setiap tahun ribuan rakyat Malaysia membeli tiket dan terbang ke Jakarta hadir ke Pestapora. Ibarat ‘Coachella’ Indonesia!

“Tapi tahun in sangat istimewa kerana mereka boleh menikmati festival tersebut dalam versi ‘latihan’ di sini terlebih dahulu.

“Latihan Pestapora Malaysia ini juga bukanlah sekadar persembahan pentas konsert biasa, namun menjadi medium menjalin kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan melalui muzik,” katanya pada majlis sidang media baru-baru ini.

Menurutnya lagi, konsert sehari tersebut merupakan ‘latihan’ untuk pengikut setia Pestapora sebelum berlangsungnya acara utama di Jakarta pada 15 hingga 17 September depan.

“Latihan Pestapora ini adalah seperti ‘sneak peak’ kepada rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk terbang ke Jakarta untuk festival utama.

“Namun, boleh juga menjadi sesi persediaan kepada peminat akan hadir ke acara utama,” ujarnya.

Kongsinya, seramai 24 artis dari Indonesia dan Malaysia akan membuat persembahan pada hari tersebut sekali gus menjadi platform pertemuan seni dan muzik Nusantara.

“Ramai artis ternama akan buat persembahan dan ini baru pengumuman peringkat awal, kami ada lagi ‘line up’ lain yang bakal dikongsi kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora dan pengasas Boss Creator, Kiki Ucup berkata, pihaknya amat terharu apabila dapat membawa ‘jiwa’ Pestapora ke Malaysia.

Ujarnya, Latihan Pestapora merupakan sebahagian daripada perjalanan jangka panjang dalam memperluas komuniti muzik serantau.

Energi Malaysia

Berbagi rasa, penyanyi Indonesia, Kunto Aji mengakui tidak sabar untuk beraksi di kerana merindui energi peminat di sini.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Mercusuar itu juga memuji Pestapora sebagai festival yang tidak ‘syok sendiri’ dan melebarkan sayap di Malaysia.

“Kita adalah negara yang saling berjiran, muzik dan seni juga dapat dikongsi menerusi acara ini.

“Saya sudah bersama dengan Pestapora sejak awal ditubuhkan. Ini pentas luar biasa.

“Lihat sahaja sambutan konsertnya setiap tahun, dibawa pula ke Malaysia, pasti sangat hebat dan energi pencinta muzik di sini sangat hebat,” kongsinya.

Bagi kumpulan pop popular, Dolla pula melihat Latihan Pestapora sebagai platform melebarkan sayap mereka menembusi pasaran Indonesia.

“Pestapora antara festival gergasi di sana dan bila dapat peluang sebegini, kami tak akan lepaskan.

“Pertama kali sertai festival muzik Indonesia, jadi ini platform untuk perkenalkan jenama Dolla dalam kalangan peminat muzik di sana. Harap ada peluang beraksi Pestapora nanti,” ujarnya.

Penyanyi lain bakal membuat persembahan termasuklah Pamungkas, Bunkface, Hindia, Barasuara, Aziz Harun, Bittersweet dan Salammusik.

Pestapora merupakan antara festival muzik tahunan di Jakarta dan paling dinanti-nantikan peminat muzik di sana.

Read Entire Article
Pertanian | | | |