PETALING JAYA – “Kerja selesai, jom balik.”
Demikianlah ‘status’ WhatsApp terakhir dimuat naik salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, semalam.
‘Status’ WhatsApp itu dimuat naik oleh Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif selepas sudah bertugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, kelmarin.
Tangkap layar ‘status’ berserta gambar trak FRU itu kemudiannya ditularkan oleh kenalan Damarrulan yang menganggap itu adalah kata-kata terakhir Allahyarham sebelum ‘pulang’ ke negeri abadi selamanya.

Hantaran tersebut sekali gus mengundang perasaan sedih dalam kalangan pengguna serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah.
“Selamat pulang sahabat Sang Saka Biru ke negeri abadi, damailah kamu di sana tunggu kami di pintu syurga,” komen Hanif.
“Balik buat selamanya,” komen Bashah.
“Selamat jalan tuan, selamat pulang ke negeri abadi,” komen Hafizi.
Terdahulu jenazah Allahyarham Damarrulan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Ipoh pada pukul 4.50 pagi tadi.
Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.
Semalam, media melaporkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 itu, nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.- KOSMO! ONLINE