Kes bunuh Kevin Morais: Nasib 6 lelaki diketahui ke tarikh lain

3 hours ago 2

PUTRAJAYA – Nasib enam lelaki termasuk bekas pakar patologi, kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya (TPP) mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram konkrit akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan di Mahkamah Persekutuan di sini.

Keenam-enam perayu itu ialah ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R .Kunaseegaran, 62, pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R.Dinishwaran, 33, A K Thinesh Kumar, 32; M. Vishwanath, 35, dan S. Nimalan, 32.

Keputusan rayuan akhir keenam-enam individu sama ada mereka berjaya mengetepikan sabitan serta hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ia yang mana Tengku Maimun yang bersidang dengan dua lagi hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak yang berakhir hari ini.

“Kami (Mahkamah) memerlukan masa untuk meneliti hujahan dan membuat keputusan. Satu tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian,” kata Tengku Maimun.

Sebelum ini pihak pembelaan dalam hujahannya memberitahu tiada bukti yang mengaitkan tertuduh Kunaseegaran dengan kes pembunuhan Kevin kerana bekas pakar patologi itu tidak pernah berada di lokasi kejadian.

Peguam Datuk N. Sivananthan, yang mewakili Kunaseegaran, dengan tegas berhujah anak guamnya tidak pernah dibuktikan mempunyai niat yang sama dengan lima tertuduh lain untuk membunuh mangsa.

Beliau juga berkata keterangan bekas tertuduh yang kemudian menjadi saksi pendakwaan dan telah mengaitkan Kunaseegaran dengan kes itu, adalah tidak lebih daripada sekadar teori untuk mewujudkan motif.

Sivananthan berkata justeru itu, keterangan saksi pendakwaan ke-54 iaitu G. Gunasekaran adalah tidak boleh dipercayai dan harus ditolak oleh mahkamah.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selaku responden yang berhujah hari ini berkata pembunuhan Kevin adalah himpunan pelbagai tindakan yang diambil bagi mencapai satu tujuan (kematian mangsa).

“Sehubungan itu, walaupun tertuduh hanya mempunyai peranan kecil dalam keseluruhan insiden, dia tetap boleh disabitkan atas kesalahan (membunuh) kerana ia memenuhi elemen `niat bersama’ sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Oleh sabitan kesemua adalah selamat. Kami (pendakwaan) memohon agar rayuan (kesemua perayu) ditolak dan hukuman dikekalkan,” kata Yusaini

Terdahulu keenam-enam perayu, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Kevin di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rayuan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu yang mana panel hakim mahkamah itu mengekalkan hukuman kerana kejadian bunuh itu dirancang rapi dengan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.

Kevin dilihat kali terakhir meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya pada 16 September tahun sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |