Pusat Perubatan Sunway perkenal Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) menjadi hospital yang pertama di Asia Tenggara untuk memperkenalkan Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE, iaitu teknologi robotik terkini yang merevolusikan pembedahan tulang belakang.

Sakit belakang merupakan antara isu kesihatan yang paling kerap berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), masalah berkaitan tulang belakang seperti sakit bahagian bawah tulang belakang (Low Back Pain, LBP) merupakan kebimbangan global.

Pada tahun 2020, LBP telah menjejaskan 619 juta individu, dan angka ini dijangka meningkat kepada 843 juta menjelang 2050. LBP merupakan punca utama ketidakupayaan, khususnya dalam kalangan mereka yang berusia daripada 50 hingga 55 tahun.

Memandangkan kerumitan anatomi tiga dimensi tulang belakang serta kedudukannya yang berhampiran dengan struktur neurovaskular yang kritikal, Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE yang mengintegrasikan Sistem Panduan Robotik Tulang Belakang, Sistem Navigasi Pembedahan StealthStation S8, dan Sistem Pengimejan O-arm menawarkan pelbagai manfaat.

Ini termasuk ketepatan yang dipertingkatkan dengan pengimejan masa nyata dan teknologi panduan canggih bagi memastikan penempatan implan yang tepat, seterusnya mengurangkan risiko kesilapan; serta pemulihan lebih cepat dengan insisi invasif minima.

Ia juga mengurangkan komplikasi intraoperatif dan pascaoperatif disebabkan oleh ketepatan dan sistem panduannya; selain memberikan pendedahan radiasi yang lebih rendah dengan teknologi pengimejan canggih untuk pesakit dan pasukan pembedahan.

Dr. Saw menyampaikan ucapan semasa pelancaran Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE.

Pakar Bedah Tulang Belakang di SMC, Dr. Saw Lim Beng berkata, Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE menetapkan piawaian baharu dalam bidang pembedahan tulang belakang.

“Teknologi ini meningkatkan ketepatan dan keselamatan, mengurangkan risiko komplikasi serta kesan sampingan yang tidak diingini.

“Dengan perisian AI (kecerdasan buatan) canggih yang diintegrasikan dengan pengimejan masa nyata, ia membolehkan perancangan yang teliti, daripada menentukan lokasi dan saiz insisi kulit yang optimum sehinggalah kepada panduan trajektori bagi instrumentasi dan proses dekompresi.

“Tahap visualisasi yang amat jelas terhadap tulang belakang pesakit juga meminimumkan trauma terhadap tisu lembut, menggalakkan pemulihan serta membolehkan pesakit kembali kepada aktiviti harian dengan lebih cepat.

“Sehingga kini, kami telah menjalankan lebih daripada 50 kes pembedahan dengan bantuan teknologi AIBLE ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak penubuhannya pada 1999, SMC telah berkembang menjadi hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, dengan 810 katil berlesen, lebih daripada 60 kepakaran perubatan, dan 28 pusat kecemerlangan.

Menjelang suku tahun ketiga 2026, kapasiti SMC akan meningkat kepada lebih 1,100 katil apabila blok keenam hospital, Blok F siap. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |