‘FDAM tahu punca sebenar nama pengarah digugurkan’

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Menjaga kerahsiaan produksi, Millionaire Films Production (MFP) selaku penerbit Misteri Fraser 1910 sudah memaklumkan kepada Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mengenai pengguguran nama Shuhaimi Zulkefli selaku pengarah filem itu.

Pemilik MFP, Amai Kamarudin, berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuat penjelasan lanjut memandangkan individu terbabit mengetahui kesan kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkannya sehingga syarikat membawa kes itu ke mahkamah.

“Individu yang digugurkan daripada produksi juga maklum tentang implikasi atas tindakannya selain tahu pengguguran nama (dalam poster dan bahan promosi) dilakukan bagi menjaga kerahsiaan produksi.

“Saman terhadap Shuhaimi turut diambil maklum FDAM apabila saya sendiri hubungi Datuk Afdlin Shauki pada 26 Mac menyatakan hasrat produksi memfailkan saman fitnah, manakala Shuhaimi menerima saman dan surat tuntutan tersebut pada 11 Mei berserta tarikh kehadiran yang perlu dimasukkan ke mahkamah.

“Ini menunjukkan Shuhaimi tahu tindakan mahkamah sedang dijalankan ke atasnya. Jadi tiada keperluan untuk kami membuat penjelasan kerana individu yang digugurkan daripada produksi sedia maklum implikasi ke atas tindakan dilakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, MFP berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan mengikut saluran yang betul, bukannya menerusi media sosial.

“Pihak produksi bertindak mengikut undang-undang dan menjadi hak produksi untuk memfailkan saman dan menuntut ganti rugi apabila kru atau pengarah melanggar perjanjian.

“Diminta pihak defendan untuk melantik peguam dan hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan isu berbangkit melalui saluran yang betul iaitu di mahkamah bukan di media sosial,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, MFP juga berharap hal pengguguran nama pengarah tidak dijadikan polemik selain melarang mana-mana pihak mengaitkan kes itu dengan politik.

“Kami berharap dengan penjelasan secara terbuka ini semua pihak jelas dengan isu pengguguran nama pengarah filem ini dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Mohon jangan politikkan filem ini. Kami di sini adalah untuk berkarya, bukan untuk berpolitik,” katanya.

Terdahulu Afdlin selaku Pengerusi FDAM menuntut penjelasan terbuka dan profesional daripada penerbit filem Misteri Fraser 1910 susulan pengguguran nama pengarah daripada bahan promosi termasuk poster utama tayangan.

Afdlin berkata, FDAM memandang serius perkara itu, sekali gus akan mempertahankan hak Shuhaimi sebagai pengarah sah, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang termaktub dalam industri perfileman.

Sebelum ini, MFP menuntut Shuhaimi membuat permohonan maaf berikutan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa dibuat di akaun media sosial miliknya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |