12,000 peserta dijangka menyertai cabaran Duo Highway Challenge 

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Edisi ketujuh IJM Allianz Duo Highway Challenge meletakkan sasaran penyertaan tertinggi berbanding tahun sebelum ini iaitu seramai 12,000 peserta untuk mengambil bahagian dalam acara larian merentasi dua lebuh raya utama Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dan Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya).

Acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad terus mendapat sambutan dalam kalangan peminat larian maraton dengan 80 peratus terdiri daripada warga tempatan dan 20 peratus pelari antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM, Dato’ Lee Chun Fai berkata, acara ini bukan sekadar acara larian tetapi dapat membentuk aktiviti yang memberi makna kepada komuniti.

“Cabaran ini mencerminkan dedikasi kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan memanfaatkan infrastruktur lebuh raya untuk manfaat orang ramai,” katanya.

Sementara itu, penaja utama acara ini, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Encik Sean Wang menegaskan komitmen syarikat dalam menyokong acara yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan dan kesihatan.

“Kami sangat berbangga dengan evolusi acara ini. Ia kini bukan hanya tentang cabaran fizikal, tetapi turut membawa misi sosial, seperti kesedaran autisme dan inisiatif kelestarian. Setiap langkah peserta adalah langkah ke arah komuniti yang lebih sihat dan prihatin,” jelasnya pada sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, acara larian tahun ini telah diperakui secara rasmi oleh World Athletics dengan kerjasama Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), sekali gus mengesahkan bahawa laluan perlumbaan mematuhi piawaian antarabangsa dari segi ketepatan jarak dan pengurusan acara.

Dalam pada itu, pendaftaran kini dibuka dan boleh dilakukan di laman web http://www.ijmhighwayrun.com serta Facebook IJM Allianz Duo Highway Challenge dan akan ditutup pada 30 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |