ALOR SETAR – Kedah tidak berhasrat untuk mengharamkan penjualan vape di negeri itu secara drastik, sebaliknya melaksanakan langkah-langkah pengawalan yang dijangka dapat diselesaikan pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan untuk mengharamkan penjualan vape perlu mengambil kira status lesen premis yang sudah dikeluarkan kepada peniaga terlibat.
“Minggu lepas saya sudah maklumkan langkah-langkah yang perlu kita lakukan iaitu lesen sedia ada kena mati dahulu sebab kita pernah hadapi kes mahkamah bagi kes yang lain.
“Walaupun lesen dah mati tapi ia ada ‘loop hole’, takut kita terlepas pandang dan disaman. Bila lesen mati, lesen baharu tidak akan dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Katanya, vape juga ada dijual di kaunter kedai-kedai runcit dan perkara tersebut juga tidak dibenarkan dan akan dibasmi sepenuhnya.
“Lebih baik kita tak jual. Kepada peniaga dan rakan-rakan yang mencari makan dengan penjualan vape, mungkin kita anggap kita jual perisa durian, epal, vanila tetapi ada pihak yang ambil kesempatan itu untuk jual dadah sintetik bentuk cecair.
“Jadi lebih baik kita elak kerana yang dapat manfaat hanya beberapa orang tapi mudaratnya terlalu berat atau parah untuk diubati pada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, mengikut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedah merupakan antara negeri tertinggi berkaitan kadar penyalahgunaan dadah.
“Sebanyak 12,000 orang daripada 2.21 juta rakyat negeri Kedah direkodkan sebagai penagih dan antara sebab kadar peningkatan itu berlaku kerana banyak tangkapan.
“Mungkin di tempat lain pun ramai tetapi dah tak tangkap, jadi tak jadi statistik, bila tangkap baru jadi angka statistik,” jelasnya.
Katanya, Pendang dikatakan menjadi daerah tertinggi mempunyai penagih, namun ia disebabkan terdapat pusat rawatan penagihan dadah swasta di situ.
“Penagih yang mendapatkan rawatan di situ pun dimasukkan sebagai angka kes penyalahgunaan dadah, jadi Pendang jadi tinggi. Orang Pendang macam rasa nak marah sikit sebab populasi Pendang 100,000 orang sahaja tapi kadar penyalahgunaan dadah tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya serius dalam menangani isu dadah dengan kerjasama pihak berkuasa seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendidikan serta masyarakat. – KOSMO! ONLINE