Sapura Energy mahu kurangkan modal 99.99 peratus

5 hours ago 2

PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) hari ini mengumumkan cadangan pelan regularisasinya, bertujuan untuk memudahkan syarikat keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) yang antara lain melibatkan pengurangan modal sebanyak 99.99 peratus bagi mengimbangi kerugian terkumpul.

Pelan akhir dijangka dikemukakan tidak lama lagi, termasuk cadangan penstrukturan semula hutang untuk menyelesaikan kira-kira RM12.1 bilion jumlah pinjaman dan liabiliti perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pelaksanaan cadangan pelan regularisasi, bersama-sama dengan tumpuan berterusan terhadap perniagaan terasnya dalam Kejuruteraan & Pembinaan, Penggerudian, serta Operasi & Penyelenggaraan mewakili laluan paling berdaya maju untuk memulihkan keadaan kewangan Kumpulan.

“Kami yakin kejayaan pelaksanaan pelan itu akan mengembalikan Kumpulan kepada keuntungan dan memulihkan keyakinan dalam kalangan pemegang kepentingan,” katanya dalam kenyataan.

PN17 merupakan status yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia bagi mengenal pasti syarikat yang menghadapi masalah kewangan serius.

Komponen cadangan pelan regularisasi SEB terdiri daripada empat komponen utama yang direka untuk memulihkan kesihatan kewangan dan mengeluarkannya daripada status PN17.

Ia termasuk cadangan pembinaan semula modal yang melibatkan pengurangan modal sebanyak 99.99 peratus untuk mengimbangi kerugian terkumpul; dan penyatuan saham 20 kepada 1 untuk meningkatkan harga dagangan saham dan mengurangkan turun naik harga.

Cadangan penstrukturan semula hutang yang komprehensif akan mengurangkan jumlah pinjaman SEB daripada kira-kira RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion, menghasilkan penjimatan faedah yang besar dan mengurangkan beban kewangan.

Ia cuba dicapai melalui beberapa mekanisme termasuk penukaran hutang kepada ekuiti, dan instrumen seperti ekuiti, serta penepian hutang.

Pelan itu juga menggabungkan inisiatif cadangan pengumpulan dana di mana Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. (MDH), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan melanggan sehingga RM1.1 bilion dalam saham pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS), yang diperuntukkan untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada vendor dalam ekosistem minyak dan gas Malaysia.

MDH akan menjadi pemegang saham utama selepas penukaran penuh RCLS berkenaan, yang akan meletakkan MDH selaku pemegang lebih daripada 33 peratus kepentingan SEB. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |