Bonnie idam emas hatrik Paralimpik

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Pingat emas ketiga berturut-turut bukanlah misi mustahil buat jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28), Amerika Syarikat nanti.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu percaya ia bukan sesuatu yang mudah kerana pesaing-pesaing sedia ada sedang mengejar dan mampu menjadi pencabar utama pada temasya terbesar dunia itu.

Bonnie berkata, sekiranya mahu merealisasikan hasrat meraih emas hatrik Paralimpik, dia perlu berada pada prestasi terbaik selain berwaspada dengan ancaman atlet-atlet lain yang semakin menghampiri.

“Saya memang ada terfikir untuk melakukan hatrik (pingat emas) tetapi perlu tengok keadaan terlebih dahulu. Bagi saya, pesaing itu memang sudah ada sekarang tetapi (prestasi) belum dekat lagi.

“Bagaimanapun, mereka memang sedang mempamerkan aksi cukup baik ketika ini, jadi saya perlu berjaga-jaga. Kalau saya nak menang tiga kali berturut-turut, memang perlu berada pada tahap terbaik,” katanya.

Atlet berusia 26 tahun itu dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 kelmarin atas kejayaan meraih pingat emas Paralimpik Paris 2024 yang menyaksikan dia turut meleburkan rekod dunia miliknya.

Lebih manis, pengiktirafan untuk sukan powerlifting tidak terhenti di situ apabila jurulatih Bonnie, Jamil Adam turut diangkat sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan.

“Kemenangan (anugerah) ini, saya sangat berpuas hati menerusi pencapaian tahun lepas dengan pingat emas di Paris dan dapat pecahkan rekod sendiri. Ini adalah anugerah pembakar semangat untuk saya lebih maju.

“Ia juga sangat bermakna apabila jurulatih saya turut dianugerahkan sebagai jurulatih terbaik. Tahun ini saya ada kejohanan Piala Dunia di Beijing (China) dan Kejohanan Dunia di Mesir,” ujar Bonnie. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |