PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Mersing bagi memandu uji bot selam baharu yang direka khas oleh Seri Paduka Baginda sendiri.
Reka bentuk serta spesifikasi bot selam itu hasil ilham serta kepakaran Seri Paduka Baginda yang berpengalaman luas dalam ilmu kelautan serta hasil pelbagai latihan ketenteraan yang dilalui Sultan Ibrahim.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, pada Mac lalu, Seri Paduka Baginda mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan sebagai Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
“Bot berkenaan yang direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi mampu beroperasi dalam perairan tropika.
“Sultan Ibrahim turut mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang Mac lalu,” kata laman Facebook berkenaan hari ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, pada November 2020, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sebuah bot laju IMG berkelengkapan penuh kepada Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertugas di Wilayah 2.
Menurut laman Facebook tersebut, bot laju IMG berkenaan dengan enjin berkapasiti 900 kuasa kuda bagi penugasan PPM di kepulauan serta perairan Mersing.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan bot Rigid Inflatable Boat (RIB) Tornado kepada 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada tahun 2021.
“Pengurniaan bot bernilai RM1.2 juta dengan enjin berkapasiti 600 kuasa kuda itu adalah bertujuan untuk membantu 21 GGK dalam melaksanakan penugasan dan tanggungjawab mereka,” kata laman Facebook itu.
Jelas Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pengurniaan Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan pasukan berkuasa dalam mengekang ancaman di laut. – KOSMO! ONLINE