Sindiket dadah Myanmar: PDRM tunggu laporan pihak berkuasa tempatan

2 days ago 12

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar berhubung pembabitan sindiket tempatan dalam rangkaian dadah antarabangsa susulan rampasan besar-besaran di negara itu baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu laporan serta perkongsian maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung perkara tersebut.

“(PDRM) masih menunggu laporan atau perkongsian maklumat daripada pihak Myanmar (berhubung kes berkenaan).

“Kita (PDRM) masih lagi dalam proses siasatan, kita ada buat kerjasama dengan pihak narkotik Myanmar jadi masih lagi menunggu beberapa maklumat daripada pihak sebelah sana (Myanmar),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan wujudnya kerjasama kumpulan pengedaran dalam negara dengan rangkaian antarabangsa berkenaan.

Media melaporkan pasukan antinarkotik Myanmar menumpaskan sindiket dipercayai terbabit kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia.

Sindiket itu lumpuh selepas enam suspek ditahan dalam operasi membanteras dadah di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 September lalu, lapor media The Global New Light of Myanmar pada 13 September lalu.

Polis menemukan 1,840 kilogram (kg) syabu (methamphetamine), empat juta pil perangsang dan 14kg heroin yang disembunyikan di sebuah gudang.

Pihak berkuasa negara itu dilaporkan berkata, dadah dipercayai dibeli dari Negeri Shan dan diarahkan untuk dihantar ke Malaysia.

Laporan itu mendakwa semua individu berkenaan dikaitkan dengan kumpulan kumpulan bersenjata Arakan Army, dengan penyiasat memaklumkan pasaran dadah itu meliputi Bangladesh dan Malaysia hingga ke negara-negara Barat dan Asia Barat.

Dalam operasi sama pada Ogos lalu, pil amphetamine, syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM300 juta (AS$71 juta) dirampas selepas beberapa ketua sindiket ditahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |