‘Sikit sebanyak kisah ayah naikkan nama saya, tapi…’

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Anak kepada pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, iaitu Syafiq Dharma, tampil menepis dakwaan kononnya menumpang populariti bapa demi meraih tawaran lakonan.

Ujar Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman,36, perjalanan seninya bermula lebih awal sebelum kisah kesempitan hidup keluarganya mendapat perhatian masyarakat.

“Saya mahu orang menilai bakat, bukan melihat siapa bapa saya. Tuduhan kata saya tumpang nama ayah untuk dapatkan kerja memang tak betul.

“Kalau betul saya tiada bakat, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tentu tidak terima saya sebagai pelajar mereka.

“Tapi kerana saya memang mampu berlakon, maka saya diterima. Bukan nak kata diri hebat, saya tahu ramai di luar sana lebih berbakat,” katanya ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaan Harian Warga Tua, Cheras, di sini, hari ini.

Pun begitu, Syafiq tidak menafikan sedikit sebanyak kisah hidup bapanya memberi ruang kepadanya untuk lebih menonjol, sekali gus membuka jalan membawa watak utama.

“Ya, memang kisah ayah sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya.

“Tetapi hakikatnya, saya sudah mula berlakon sejak 17 tahun lalu. Saya pernah muncul dalam muzik video Datuk M. Nasir dan Bunga Isme. Selain itu, saya juga terbabit dalam drama Kisah Benar serta beberapa drama lain, cuma waktu itu sekadar pelakon tambahan. Itu yang buat saya kurang dikenali,” ujarnya.

Tambah Syafiq, membawa nama sebagai anak kepada seorang legenda seni bukan tugas mudah apabila semua orang meletakkan harapan tinggi agar dirinya setanding dengan pencapaian sang ayah.

“Orang nampak macam senang bawa nama ayah, tapi sebenarnya bukan. Nama Dharma sudah ada reputasi besar.

“Sebab itu saya perlu disiplin di set. ‘Call time’ kena tepat, skrip wajib dihafal. Pendek kata semua kena sempurna. Saya tak boleh rosakkan nama ayah.

“Dalam masa sama, saya sangat berterima kasih kepada Datuk A. Aida yang membuka ruang dan percaya kepada kemampuan saya untuk berlakon di bawah produksinya,” jelasnya.

Syafiq bakal tampil dalam telefilem Ayah arahan Zul Huzaimy yang turut dibintangi Aniq Suhair, Azeva Natassha, Ezzaty Abdullah serta Dharma Harun sendiri.

Naskhah tersebut dijadualkan bersiaran pada 18 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |