‘Semua yang mama nak’ – Azeva serius bidang seni ‘ditekan’ A. Aida

1 hour ago 1

KUALA LUMPUR – Penyanyi Azeva bertekad mahu serius dalam bidang seni selepas ibunya, Datuk A. Aida berdepan ujian kesihatan pada tahun lalu.

Azeva atau nama lengkapnya Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, memaklumkan insiden pahit tersebut menjadi titik tolak terbesar dalam hidupnya untuk menghargai serta menunaikan setiap impian yang dihajatkan ibunya.

“Sebenarnya selepas keluarga kami kena ujian yang mama saya kena strok, doktor suruh kami sekeluarga bersedia sebab dia kata mama dah 99 peratus sudah tiada.

“Saya terfikir selama ini saya buat apa untuk mama, saya pun berdoa ‘Ya Allah, kembalikanlah ibuku dan kalau dia kembali saya janji untuk buat semua dia suruh.

“Kemudian, mama pun sedar dan saya bersyukur. Saya memang nak buat semua yang mama nak,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Tanpa Rasa Jemu, hari ini.

Pada masa sama, anak kepada penyanyi Ameng itu berkongsi bahawa ibunya tidak mengharapkan kemewahan kebendaan, sebaliknya mahu melihat kesungguhannya dalam bidang muzik.

“Saya sedar waktu mak koma tiga hari, ramai yang lalui benda saya hadapi. Bila dah kehilangan seorang mak, kita akan menyesal selamanya.

“Mama hidup dan sedarkan diri balik, saya rasa ini rezeki sangat besar buat saya.

“Mama pun cakap tak perlu beli beg tangan. Cuma beri lagu dan semua saya buat untuk mama,” katanya lagi.

Sebelum ini, A. Aida dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi dan difahamkan dia baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.

Begitupun, dia yang dikatakan dalam keadaan sihat selepas pembedahan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas sesi rawatan fisioterapi.

Dalam perkembangan lain, Azeva melancarkan single terbaharunya berjudul Tanpa Rasa Jemu yang juga merupakan runut bunyi kepada filem lakonannya, Bisikan Nafsu.

Lagu tersebut diciptakan Zul 2by2, Aiman dan Madi Mulyadi serta lirik hasil nukilan ibunya, A. Aida. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |