Adakah terdapat unsur syirik dalam selawat tafrijiyyah?
Jawapan: Persoalan ini timbul apabila ada yang mengatakan bahawa selawat tafrijiyyah mempunyai unsur syirik. Perkara ini menyebabkan sebahagian masyarakat menjadi resah dan risau kerana amalan tersebut memang telah sekian lama diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia.
Berikut merupakan lafaz selawat tafrijiyyah: “Ya Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnu khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki.”
Berdasarkan lafaz selawat tafrijiyyah di atas, yang menjadi isu di sini adalah pada lafaz-lafaz selawat tertentu.
Sebagai seorang Muslim, kita sedia maklum bahawa selawat ke atas Nabi SAW adalah salah satu zikir yang menjadi amalan dalam kehidupan kita.
Bahkan, Allah SWT memerintahkan di dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, 56)
Secara umumnya, ayat di atas menjelaskan kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW. Selain itu, tidak semestinya untuk berselawat kepada Nabi SAW dengan menggunakan lafaz (sighah) tertentu.
Maka, setiap lafaz (sighah) yang mana tidak mengandungi unsur-unsur ditegah dalam syariat adalah harus digunakan.
Jika diperhatikan kepada lafaz-lafaz dalam selawat tafrijiyyah yang dipersoalkan bahawa terdapat unsur syirik, sebenarnya tidak terdapat unsur syirik padanya dan lafaz tersebut adalah harus digunakan. Pada aspek bahasa, huruf ‘ba’ yang terdapat pada lafaz tanhallubihi uqad tersebut adalah al-ba’ al-sababiyyah yang membawa maksud tanhal bisababihi uqad dengan sebab Nabi SAW.
Oleh kerana itu, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diletakkan ‘yang menjadi sebab terungkai kebuntuan’. Kebuntuan yang paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di dunia adalah isu kesyirikan dan kekafiran. Kemudian, kebuntuan paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di akhirat adalah dengan syafaat daripada Baginda SAW.
Perkara ini termasuk dalam aspek tawassul dengan Nabi SAW. Tawassul dari segi istilah bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam maksud lain, tawassul itu adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT dan dengan amal soleh dikerjakan.
Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah yang dibenarkan oleh syara’ tanpa khilaf. (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait, 14/149-150)
Selain itu, para ulama berbeza pendapat berkenaan bentuk tawassul yang selain daripada tiga bentuk di atas. Menurut ulama yang membolehkan untuk bertawassul dengan sifat kemuliaan atau roh mereka yang telah meninggal dunia adalah seperti Dr. Syeikh ‘Ali Jum’ah. (Lihat Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah li Syeikh Ali al-Jumu’ah, hlm. 165)
Walaupun begitu, kita digalakkan untuk mengutamakan selawat dan zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW seperti selawat Ibrahimiyah dan lain-lain.
Bagi mereka yang tidak mahu beramal dengan selawat tafrijiyyah ini tiada masalah tetapi janganlah kita menyalahkan sehingga mengatakan perbuatan mereka mengamalkannya syirik.
Kesimpulannya, berdasarkan penelitian di atas, tidak terdapat unsur syirik di dalam rangkap selawat tafrijiyyah seperti yang diperkatakan.
Bahkan, selawat ini mempunyai beberapa isi penting di dalamnya seperti doa, selawat dan tawassul. Justeru, tidak ada masalah dan diharuskan bagi sesiapa yang ingin mengamalkan selawat ini.

8 hours ago
8








![[VIDEO] Zoo Negara dilanda banjir, badak air ‘berenang’ dalam kandang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-11-at-11.06.13-AM.jpeg)



































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)



