KUALA LUMPUR – UMNO menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu sekiranya parti itu bersama Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda berkenaan dirangka bagi membentuk Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, rakyat makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia.
Katanya, lapan ikhtiar itu merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.
“Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa dan membeli jenama Malaysia.
“Kita mahu bergerak daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di WTC Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menyasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperoleh gaji premium menerusi agenda Negara Berkemahiran.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara Pemilik pula, katanya, kemajuan rakyat tidak seharusnya diukur berdasarkan pendapatan semata-mata.
Sebaliknya, rakyat perlu memiliki aset seperti rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan atau aset produktif.
“Kita mahu bergerak daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki.
“Sasaran kita 60 peratus daripada rakyat dewasa Malaysia memiliki secara langsung sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai,” katanya.
Bagi Negara Sejahtera, beliau berkata, kerajaan perlu mengukur kesejahteraan rakyat berdasarkan pendapatan boleh guna selepas keperluan asas dipenuhi.
“Kita mahu setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan,” katanya.
Sementara itu, bagi Negara Berdaya Tahan, Ahmad Zahid menyasarkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik termasuk makanan, perubatan, telekomunikasi, tenaga, air, pertahanan dan industri strategik.
Beliau turut menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.
“Malaysia juga mesti muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional,” katanya.- KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4







![[VIDEO] Zoo Negara dilanda banjir, badak air ‘berenang’ dalam kandang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-11-at-11.06.13-AM.jpeg)




































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)



