Cukup-cukuplah ‘guru’, dengarlah suara rakyat – Ahmad Zahid

5 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencuri perhatian perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 apabila beberapa kali menitipkan pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digelarnya sebagai ‘guru’.

Pesanan Ahmad Zahid itu adalah supaya Perdana Menteri mendengar suara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat.

Dalam pesanan itu, Ahmad Zahid turut menyentuh isu sistem percukaian negara, khususnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah. Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat.

“Guru tukar balik percukaian kepada sistem GST. Mana ada (sistem) hibrid, tiada siapa buat hibrid GST dan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).

“Dengarlah rakyat cakap ni. Bosku (Datuk Seri Najib Razak) dah buat betul dah (dengan melaksanakan GST). Insya-Allah, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada pembukaan PAU 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Titipan pesanan tersebut disambut tepukan dan sorakan perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.

Ahmad Zahid berkata, mesej berkenaan bukan hanya mewakili suara UMNO, malah mencerminkan pendirian keseluruhan parti dalam BN serta rakyat.

Beliau kemudian mengulangi pesanan itu dengan nada lebih tegas agar ‘guru’ tidak menutup mata dan telinga terhadap suara yang sedang disampaikan.

“Guru, dengarlah guru. Jangan butakan mata, jangan tulikan telinga. Cukup-cukuplah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan pesanan tersebut bukan bertujuan menjadi batu api kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau tidak mahu keresahan, kegelisahan dan kekeliruan terus menyelubungi rakyat sehingga melahirkan apa yang disifatkannya sebagai ‘keliruisme’ yang tidak berkesudahan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |