Bekas penceramah didakwa miliki gambar bogel, video lucah

4 hours ago 4

SHAH ALAM – Seorang bekas penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisteet di sini hari ini atas pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbit, tahun lalu.

Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.

Bapa 11 anak itu didakwa memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbit di Pejabat Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini pada pukul 6.15 petang, 1 Julai 2025.

Sabit kesalahan lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan keseluruhan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Peguam A. Naveenthiran memohon kadar minimum kerana anak guamnya hilang sumber pendapatan sejak siasatan kes tersebut bermula. Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan sentiasa berada bersama keluarga.

“Tertuduh memiliki 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun selain menanggung dua isteri. Ini kali pertama (tertuduh) dituduh mahkamah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Anak guam saya pun tidak pernah berhubung dan tidak mempunyai risiko mengganggu pengadu,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan Faridul Firdaus diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober ini.

Faridul Firdaus pernah didakwa sebanyak dua kali di Mahkamah Syariah tahun lalu bersabit kes mengajar tanpa tauliah dan didenda RM2,900, manakala bagi kesalahan gagal membayar hutang perkahwinan pula lelaki itu dihukum penjara 10 hari.

Kosmo! pada 5 Julai 2025 melaporkan, polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |