Kereta elektrik menanti atlet karate jika tuai emas di Sukan Asia

8 hours ago 8

GANJARAN lumayan berupa kenderaan elektrik (EV) bernilai lebih RM60,000 bakal menanti atlet karate negara sekiranya mereka berjaya menjelmakan kilauan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) turut memberi bayangan bahawa ganjaran tambahan turut diberikan sekiramnya kem negara mampu melakar pencapaian luar biasa pada temasya empat tahun sekali itu.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad menegaskan, sudah menjadi tanggungjawab kepimpinannya memastikan keringat serta pengorbanan atlet yang mengharumkan nama negara dibalas dengan nilai setimpal.

“Ganjaran kereta ini sebenarnya satu nilai tambah untuk menyuntik motivasi kontinjen karate negara, lebih-lebih lagi Sukan Asia adalah pentas terbesar buat sukan ini.

“Kita memerlukan sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk membantu kedudukan kontinjen negara dalam carta pungutan pingat.

“Tajaan kenderaan ini diperoleh daripada pihak korporat yang memberi kepercayaan kepada saya. Saya yakin atlet kita mampu melakar kejayaan tanpa mengira kategori mana yang mampu membawa pulang emas ke tanah air,” katanya.

Mengulas mengenai potensi ganjaran tambahan, Nur Azmi bagaimanapun menasihati barisan atlet agar meletakkan misi memburu kejuaraan sebagai keutamaan.

“Tugas atlet fokus kepada kejayaan dulu, soal ganjaran adalah tugas saya sebagai presiden. Nanti saya bagi kejutan (tentang ganjaran tambahan). Kita tidak mahu janji bukan-bukan, yang penting (dapatkan) pingat dulu,” katanya.

Dalam masa sama, Nur Azmi percaya barisan atlet karate negara lebih matang untuk menghadirkan kejayaan buat negara, bukannya terlalu memikirkan tentang ganjaran peribadi.

“Saya rasa dia tidak ada tekanan, kalau kita fokus, janganlah fokus kereta tetapi fokus kepada apa yang kita nak. Kalau fokus pingat emas, sudah tentu ganjaran sudah ada,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |