Sehingga RM5 bilion wang rasuah telah dirampas – PM

15 hours ago 6

IPOH – Usaha kerajaan untuk membanteras kegiatan rasuah membuahkan hasil apabila sehingga RM5 bilion wang dari perbuatan tidak bermoral itu telah dirampas oleh kerajaan dalam tempoh setahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tegas dengan pendiriannya untuk membanteras kegiatan rasuah dan menegakkan tatakelola yang baik biarpun mendapat sindiran daripada pihak tertentu.

“Ada orang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan tindakan keras antirasuah.

“Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul dalam satu tahun ini di semua agensi, dari orang politiknya, ke jabatan kementeriannya, dari imigresennya, kastamnya, berapa kita kumpul?

“Sudah dalam setahun ini, RM4, RM5 bilion wang yang dirampas hasil rasuah. Maknanya (itu bukti) kecekapan, kesungguhan kita bertindak untuk membersihkan (rasuah),” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Ipoh Sentral di Stesen Keretapi Ipoh, di sini hari ini.

Pembangunan Ipoh Sentral yang berlokasi strategik bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh secara rasminya disempurnakan oleh Anwar dalam majlis pecah tanah berkenaan.

Berteraskan Agenda Pengangkutan Hijau Bandar Pintar Perak 2030, Ipoh Sentral diilhamkan untuk mengubah Ipoh menjadi hab pengangkutan yang moden, mampan dan mempunyai keterhubungan yang baik di samping memelihara warisan budaya bandar serta mengukuhkan ikatan komuniti.

Dibangunkan berasaskan prinsip Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), projek ini akan mengintegrasikan perkhidmatan kereta api, bas, teksi, e-hailing, laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal secara menyeluruh dalam sebuah kawasan bandar pelbagai guna yang dinamik.

Ia sekali gus menggalakkan gaya hidup mesra pejalan kaki, mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, serta menyokong ekosistem mobiliti rendah karbon yang lebih bersih.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangunan bagi projek mega di negara ini perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Dalam keghairan mengejar pembangunan, kadang kala pemaju menciplak idea dari luar meskipun mengetahui suasana dan persekitarannya tidak semestinya serasi daripada sudut cuaca, nilai masyarakat dan budaya setempat.

“Sebab itu pembangunan kita yang baharu ini memikirkan soal itu (nilai masyarakat dan budaya) dan juga soal rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ada gedung-gedung besar, projek-projek megah yang sama sekali tidak bermanfaat langsung kepada rakyat, justeru konsep pembangunan sedemikian tidak boleh dipertahankan lagi.

“Negara Madani itu harus sentiasa prihatin dan menyatuni rakyat, kalau tidak Madani itu tidak lebih daripada slogan. Maka, harus difikirkan apakah ciri-ciri yang boleh mengangkat budaya, tamadun, teknologi baharu rakyat, negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |