Rumah usang keluarga Kak Umi kini macam baharu

4 hours ago 5

SEBERANG PERAI – Seorang wanita yang hanya bekerja kampung tidak menyangka kediaman pusaka milik arwah ibunya yang usang dan hampir roboh kini sudah berwajah baharu hasil bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Umi Kalsum Nayan, 52, yang mesra disapa sebagai Kak Umi sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut dan berniaga kecil-kecilan.

Menerusi Facebook Steven, beliau memberitahu telah berjumpa dengan Kak Umi tanpa memaklumkannya terlebih dahulu akan penemuan mereka itu beberapa minggu lalu.

Steven berkata, Kak Umi merupakan seorang wira kampung yang tidak pernah meminta pujian meskipun hidupnya serba sederhana.

“Tapi yang luar biasa, dia sentiasa buat yang terbaik untuk orang lain, walaupun dirinya sendiri serba kekurangan. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, kesihatan Kak Umi semakin merosot. Tubuhnya uzur, tapi semangatnya tetap utuh.

“Beberapa minggu lalu, saya telah melawat Kak Umi. Kebetulan masa tu Kak Umi baru turun dari bukit Tok Kun mengambil upah jaga dusun milik ayah sahabat baiknya Fatin.

“Saya terdiam melihat keadaannya. Letih, lesu, tapi masih tersenyum. Saya tawarkan bantuan. Tapi seperti biasa, Kak Umi menolak dengan lembut. Cuma dia minta saya bantu membina kediaman pusaka ibu mereka yang menjadi tempat berteduh adiknya iaitu Rosman sekeluarga,” katanya,

Beritahu Steven lagi, Rosman, 46 yang merupakan pesakit jantung dan menetap di Kampung Kijang, Bukit Mertajam itu terpaksa berpindah kerana kediaman tersebut sangat usang manakala silingnya hampir runtuh bila-bila masa.

“Saya beritahu Kak Umi saya akan cuba sedaya upaya saya dan hari ini, janji tersebut sudah tertunai. Dua hari lepas, Kak Umi jemput saya ke kenduri doa selamat di rumah yang sudahpun siap dibina.

“Sebaik saja saya tiba di rumah Kak Umi, terkejut saya melihat rumah yang sebelum ini terlalu usang dan hampir runtuh kini tersergam indah di depan mata,” ujarnya pembinaan rumah tersebut dibina secara gotong-royong oleh lebih 20 pelajar yang menyertai kursus kepimpinan dari “First CDK Engineering”. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |