Rayuan akhir kes bunuh CEO Cradle Fund 10 November

2 hours ago 4

PUTRAJAYA – Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, tujuh tahun lalu akan didengar November ini.

Pada prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hingga 12 November ini untuk mendengar rayuan itu.

Tarikh itu turut disahkan peguam, Wan Muhammad Arfan Wan Othman ketika dihubungi media.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan itu merupakan tindakan terakhir pihak pendakwaan untuk mengubah keputusan mahkamah terdahulu.

Sekiranya gagal, Samirah dan dua remaja lelaki itu kekal bebas selamanya.

Pada 8 Februari 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja berkenaan.

Ketika kejadian, Samirah merupakan isteri Nazrin.

Panel yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan sama di akhir kes pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam keputusannya turut menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |