Ratu lompat tinggi kembali gegar arena

15 hours ago 6

PETALING JAYA – Ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee bakal turun membuat penampilan pertamanya sejak Jun 2024 dalam misinya kembali mencipta sejarah luar biasa arena olahraga dan merampas pingat Sukan SEA pernah dimenanginya enam tahun lalu.

Sean Yee, 30, sentiasa menjadi harapan kem olahraga negara sejak dia memecahkan rekod lompat tinggi kebangsaan dengan catatan 1.83 meter (m) ketika meraih pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet dari Wangsa Maju itu kemudiannya berkongsi pingat emas dengan atlet Thailand, Wanida Boonwan selepas masing-masing terikat catatan 1.81m pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Ia sekali gus menjadikan Sean Yee sebagai atlet lompat tinggi wanita pertama negara berjaya melakukannya dalam tempoh 40 tahun sejak Gladys Chai von der Laage memenangi pingat emas Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia.

GLADYS CHAI merupakan Olimpian negara yang kemudiannya bertukar profesion kepada jurugambar sukan. – WORLD ATHLETICS

Bagaimanapun, penularan Covid-19 dan beberapa isu termasuk kecederaan lutut menyebabkan Sean Yee kurang menyertai pertandingan sehingga terlepas mempertahankan gelarannya pada Sukan SEA Vietnam 2021.

Nasib juga kurang menyebelahinya apabila meraih tempat keempat pada Sukan SEA Kemboja 2023 di belakang tiga seteru utamanya, Thanlada Thongchomphunut (Thailand), Pham Thi Diem (Vietnam) dan Michelle Sng Suat Li (Singapura).

Kini, Sean Yee kembali dengan harapan baharu dalam percubaan keduanya merampas semula takhtanya menjelang Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dijadualkan Disember depan.

SEAN YEE merupakan satu-satunya atlet lompat tinggi kebangsaan berjaya meraih pingat emas di pentas Sukan SEA sejak Gladys Chai melakukannya pada edisi Jakarta 1979. – IG HJSYEEYAP

Enggan meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada diri sendiri termasuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan focus kepada mendapatkan rentak terbaik pada Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent, Uzbekistan malam esok.

“Saya masih berlatih dan pastikan diri terus aktif. Banyak perkara berubah dari masa ke masa, kita lihat bagaimana nanti,” kata Sean Yee.

Apa yang pasti, Sean Yee tidak lagi menggalas beban itu berseorangan apabila ditemani rakan seperjuannya sejak dulu, Norliyana Kamaruddin yang akan ‘melupakan’ seketika acara heptatlon dengan memberi fokus sepenuhnya kepada lompat tinggi tahun ini.

Sean Yee dan Norliyana menjadi sandaran terbaik negara di Bangkok nanti, namun mereka berdua perlu menunjukkan prestasi yang positif berentap dengan atlet-atlet handalan lain di bumi Tashkent malam esok. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |