Rasai kelainan bufet nasi lemak di Sunset Terrace, Sunway Resort Hotel

16 hours ago 5

PETALING JAYA – Seiring pengiktirafan nasi lemak sebagai antara menu sarapan  oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Sunset Terrace di Sunway Resort Hotel menjemput para tetamunya untuk mengembara secara nostalgik menerusi rasa-rasa ikonik Malaysia dengan Bufet Nasi Lemak yang menakjubkan.

Promosi yang akan berlangsung mulai 22 Ogos ini hingga 16 September itu adalah  bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan juga Hari Malaysia.

Menurut kenyataan Sunway Resort Hotel, menu bufet yang direka oleh Cef Amir Roslie memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati masakan sambal nasi lemak tetapi juga  lauk sampingan dan hidangan panas warisan.

Antara menu yang bakal dihidangkan nanti adalah nasi lemak hijau pandan, nasi lemak kuning Royal, nasi lemak bunga telang dan nasi lemak putih yang mana masing-masing dimasak dengan bahan mentah yang unik serta disajikan dengan penuh bergaya.

Melengkapkan hidangan nasi adalah sambal yang dimasak perlahan menggunakan cili premium, termasuk Sambal Bawang dan Sambal Nyonya, bersama pilihan ikan bilis terpilih seperti Ikan Bilis Mata Biru dari Pangkor dan Ikan Bilis Jepun yang halus.

Tetamu juga boleh menikmati aneka keropok tradisional berwarna-warni dan pilihan Serunding Ayam, Daging dan ikan yang dibumbui rempah.

Bagi melengkapkan pengalaman, bufet ini turut menampilkan pilihan hidangan panas secara bergilir yang menyerlahkan kepelbagaian dan kekayaan rasa masakan Malaysia.

Antara yang menarik termasuk Ayam Goreng Berempah, Rendang Kerang, Paru Goreng Cili, Sambal Sotong, Daging Dendeng, Rendang Kambing dan Rendang Ayam.

Pilihan vegetarian lain seperti Tempeh dan Tauhu Goreng Kicap serta Kangkung Goreng Belacan juga disediakan, memastikan ada sesuatu untuk semua selera.

Walaupun nasi lemak kekal sebagai bintang utama, para tetamu turut boleh menikmati pengalaman makan yang diperkaya dengan pelbagai pilihan bufet antarabangsa.

Bagi pencinta kembara rasa, bufet ini menawarkan pelbagai masakan global daripada hidangan Asia hingga klasik Barat. Peminat makanan laut pasti teruja dengan seafood on ice yang menawarkan hasil laut segar, manakala pilihan lebih ringan menanti di bar salad dan stesen sushi.

Menjadi penutup hidangan tetamu, mereka boleh menikmati pelbagai hidangan pencuci mulut dan buah-buahan segar.

Harga promosi bufet adalah antara RM188 hingga RM198 seorang dewasa, ia berbeza harga untuk  makan malam dan juga makan tengahari. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |