Qabil Irfan miliki ‘DNA’ MotoGP

3 days ago 12

NAMA Qabil Irfan Azlan terus meniti di bibir penggiat sukan permotoran antarabangsa apabila pelumba muda sensasi negara itu disifatkan sebagai ‘aset berharga Malaysia’ dan berpotensi besar untuk melangkah jauh sehingga ke pentas MotoGP pada masa akan datang.

Pengiktirafan itu hadir daripada individu yang bertangungjawab ke atas Qabil pada perlumbaan ESBK Talent iaitu Faustoz Martinez yang merupakan ketua kru serta jurutera data, malah
mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam Kejuaraan Dunia.

Menurut Martinez, pencapaian Qabil menjuarai Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) kategori Talent 2025 di Litar Estoril, Portugal bukan sekadar bukti kemampuannya di atas litar, tetapi bayangan awal bahawa pelumba berusia 13 tahun ini berada pada landasan tepat untuk mengembangkan kariernya ke pentas lebih tinggi.

“Kami benar-benar terkejut dengan prestasi dan potensi pelumba muda ini. Dia mempunyai seluruh dunia di tangannya. Apa yang boleh saya katakan ialah, sukan ini sukar, tetapi saya percaya dia boleh pergi jauh ke Moto3, JuniorGP dan mungkin suatu hari nanti, MotoGP.

“Apa yang pasti, dia bukan pelumba biasa, malah Qabil adalah pelumba luar biasa. Kami bangga dengan kejayaan yang dicapainya yang berjaya mencipta kemenangan di sini,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo!.

Martinez mengakui keyakinan itu berdasarkan analisa dengan menjelaskan antara kekuatan utama Qabil adalah keupayaannya menyesuaikan diri dengan pantas di litar baharu, satu kelebihan yang jarang dimiliki pelumba muda seusianya.

Tegasnya, reaksi Qabil mengenai litar lebih cepat lagi-lagi sewaktu bersaing menentang pelumba Eropah berpengalaman dalam litar di ESBK musim ini.

“Biasanya apabila kami tiba di litar baharu, Qabil mungkin kurang arif berbanding pesaing lain. . Biasanya di litar lain pencabarnya sudah mengenali lebih baik berbanding Qabil dan mereka tidak membenarkan Qabil melakukan tugasnya untuk memecut laju.

“Qabil dia cepat belajar, menganalisis, dan menyesuaikan gaya tunggangannya. Di Estoril, dia bukan sahaja menang dia menang dengan jurang masa yang besar. Kini, Qabil ini adalah juara Sepanyol yang merupakan saingan kebangsaan terbaik di dunia,” ujarnya.

Tambah Martinez, pengalaman luasnya yang pernah bekerja dalam pelbagai kategori Kejuaraan Dunia termasuk 125cc, 250cc, Moto3, Moto2 dan MotoGP menyaksikan sendiri ramai bakat muda muncul, tetapi Qabil dilihat memiliki sesuatu yang istimewa.

Read Entire Article
Pertanian | | | |