PARIS – Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique mengakui pasukannya masih memiliki sisa motivasi kejayaan musim lalu untuk dibawa pada aksi menentang Tottenham Hotspur pada aksi Piala Super Eropah di Stadium Bluenergy, Udine, Itali awal pagi esok.
Musim lalu menyaksikan PSG berjaya menjulang empat piala termasuk trofi Liga Juara-Juara, namun hasrat mereka untuk menambah koleksi itu tidak berjaya selepas gagal di pentas final Piala Kelab Dunia (CWC).
Mereka dilihat memiliki peluang cerah untuk membawa pulang gelaran juara buat kali kelima menjelang aksi kali ini apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding Spurs.
Bagaimanapun, Enrique mahu pasukannya memberikan aksi lebih baik pada perlawanan kali ini dengan tidak memandang mudah cabaran dan kejutan yang mampu dilakukan oleh Spurs biarpun PSG dianggap serba lengkap.
“Sasaran untuk musim berikutnya adalah memastikan pasukan ini menunjukkan peningkatan. Dalam misi memburu gelaran, ia mungkin lebih sukar kerana kami akan bermain banyak perlawanan, namun akan bersedia untuk semua itu.
“Dari segi bola sepak, saya fikir kami sudah banyak meningkat, sama ada aspek menyerang atau bertahan. Namun, saya percaya kami masih memiliki fasa untuk terus meningkat dan menjadikan pasukan lebih baik.
“Apa yang pasti kami sentiasa percaya mampu untuk memenangi setiap perlawanan yang dilalui dan mengulangi apa yang kami capai musim lalu. Ia memberikan motivasi yang besar buat kami,” katanya.
Bagaimanapun, menjelang perlawanan menentang Spurs, PSG menerima tamparan hebat apabila mereka bakal turun tanpa khidmat pemain tengah paling efektif sepanjang musim lalu, Joao Neves.
Pemain antarabangsa Portugal itu berdepan penggantungan selepas menerima kad merah pada aksi final Piala Dunia Kelab ketika menentang Chelsea apabila menarik rambut Marc Cucurella.
Kad merah berkenaan menyaksikan pemain itu digantung dua perlawanan melibatkan aksi Piala Super Eropah kali ini serta aksi pembukaan Ligue 1 nanti. – AGENSI