KOTA KINABALU – Pesawah di Kota Belud kini mampu menikmati hasil pengeluaran lebih tinggi selepas menyertai program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan di bawah syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Salah seorang peserta program berkenaan ialah Adlin Mohamad, 51, iaitu petani generasi ketiga yang meneruskan usaha arwah ayahnya di Kampung Jawi-Jawi, dekat sini.
Berminat dengan bidang pertanian sejak berusia 18 tahun, lelaki ini sempat mengusahakan tanaman padi secara tradisional, antaranya menggunakan kerbau untuk membajak sawah sebelum berubah kepada sistem yang lebih moden.
Antara teknologi yang diaplikasikan dalam perusahaannya hari ini termasuklah penggunaan jentera membajak, serta teknologi dron untuk memantau sawah.
Kini, Adlin memainkan peranan lebih strategik untuk menyelia operasi dan menguruskan sepasukan petani, menggabungkan bersama pengalaman tradisionalnya dengan kaedah pertanian moden.
Kebanyakan tanggungjawab beliau kini lebih tertumpu pada soal pemantauan, perancangan serta pengurusan dan bukannya kerja fizikal semata-mata.
Rutin kerja hariannya bermula daripada aktiviti tinjauan di kawasan sawah, kemudian membuat penjadualan bagi kerja-kerja penyelenggaraan tanaman.

Adlin memberitahu, terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh petani zaman sekarang.
Antaranya peningkatan kos untuk kerja-kerja membajak tanah, selain peningkatan harga jualan racun yang dianggarkan beliau sekitar 50 hingga 70 peratus.
“Alhamdullilah, baru-baru ini kita telah dibantu oleh kerajaan yang meningkatkan subsidi harga padi dan harga lantai padi.
“Bagaimanapun, kalau boleh kami memohon kepada kerajaan supaya turut membantu dari segi penetapan kos racun dan pembajakan.
“Selain itu, harga siling juga harus dikawal supaya pihak kontraktor tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga,” katanya ketika ditemui pada program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini, baru-baru ini.
Pada masa sama, Adlin turut berterima kasih kepada pihak BERNAS kerana telah memilih Kampung Jawi-Jawi untuk projek Smart SBB pertama di Sabah pada tahun 2023.
Terdapat 19 peserta program Smart SBB di Kampung Jawi-Jawi.

Menurut beliau, menerusi penyertaan dalam projek tersebut, para petani kampung berkenaan, yang mengusahakan tanaman padi seluas lebih kurang 41 hektar telah berjaya meningkatkan ekonomi mereka berbanding dahulu.
Tambahnya, bimbingan yang diberikan oleh BERNAS turut membantu mereka mengubah cara bekerja daripada kaedah tradisional kepada moden.
“Menggunakan kaedah tradisional, dahulu kami hanya dapat hasil lebih kurang dua hingga tiga tan metrik per hektar (mt/ha).
“Dengan projek Smart SBB ini, kami berjaya memperoleh hasil sebanyak 4.11 tan mt/ha pada musim pertama.
“Dan lebih membanggakan lagi, tahun ini kami telah mencapai hasil sebanyak 4.56 mt/ha,” ujar beliau.
Adlin juga menzahirkan rasa syukur kerana semua peserta program tersebut dibekalkan dengan benih padi TR8, iaitu benih yang sesuai dengan keadaan di kawasan kampungnya selain turut memiliki rintangan tinggi terhadap serangan serangga.
“Tetapi kalau boleh, kami ingin memohon agensi pertanian untuk membekalkan varieti benih padi yang baharu dan terkini.
“Ini kerana kami telah lama menggunakan benih TR8 ini, jadi mungkin terdapat varieti baharu yang lebih baik dan boleh meningkatkan lagi hasil pertanian di kawasan kami,” jelasnya.
Sebagai penyumbang kepada usaha memastikan keterjaminan makanan negara melalui penghasilan makanan ruji, Adlin turut berkongsi harapan besar bagi masa depan industri ini.
Beliau berharap pihak kerajaan akan terus membantu para petani dalam pelbagai bidang seperti melalui program Smart SBB.
“Kami mohon agar program seperti ini diteruskan dan diperluaskan lagi di Sabah, dan peruntukan untuknya ditambah oleh semua agensi yang berkaitan.
“Selain itu, kami juga ada mengalami sedikit masalah infrastruktur, jadi kami berharap kerajaan dapat menambah peruntukan untuk pembangunan infrastruktur yang diperlukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE